September 01, 2004

Sakit Otak

AH, parah! Suku juta rakyat Malaysia menghidap sakit otak? Aku memejam mata rapat-rapat dan membukanya semula selepas dua minit. Akhbar kutancap semula. Sah, aku tidak berkhayal. Tajuk besar muka depan akhbar yang bercetak tebal dalam dakwat hitam pekat itu tetap sama. Aku mendengus berat, tersandar di kerusi pejabat. Mahu percaya atau tidak? Aku menyoal pertimbangan warasku. Media kekadang memperbesar cerita. Yang tiada diada-adakan. Yang ada ditiada-tiadakan. Yang basi disuntik sensasi. Yang sensasi bisa kontroversi.

Aku mencapai semula naskhah akhbar. Kutatap lebih rinci laporan yang disediakan wartawan Nurin Hambali itu. Antara perenggan yang paling menarik perhatianku berbunyi;


“... Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Jan Jan Jali melaporkan takrifan penyakit sakit otak telah dipinda berasaskan perkembangan mutakhir penyakit tersebut dalam masyarakat negara ini. Takrifan terbaru itu menyebut sakit otak sebagai ‘sebarang cetusan perlakuan yang menyimpang daripada sifat tabie atau sistem perundangan yang didorong oleh masalah ketidakupayaan otak berfungsi secara normal’. Berdasarkan takrifan terbaru ini, sekumpulan penyelidik bebas telah mendedahkan bahawa suku juta rakyat Malaysia menghidap sakit otak secara sedar atau pun tidak.”

Dalam perenggan akhir laporan itu, aku mengesani sesuatu yang lebih mencurigakan, sesuatu yang lebih menyirap debaran.


“... Pihak Perisikan Amerika Syarikat di Pentagon mempercayai peningkatan mendadak sakit otak di Malaysia dan di beberapa negara seluruh dunia mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas antarabangsa. Hingga setakat ini, tiada bukti kukuh yang diperoleh tentang punca peningkatan sakit otak tersebut, tetapi pihak perisikan Amerika mempercayai rangkaian pengganas Al-Qaeda yang didalangi Osama bin Laden telah melamcarkan sejenis serangan biologi dalam bentuk wabak yang berupaya mengganggu keseimbangan fungsi otak. Amerika Syarikat bagaimanapun bersedia menghulurkan bantuan kepada Malaysia sekiranya diperlukan.”

Ada desiran yang meremangkan daripada rangkap-rangkap ayat artikel tersebut. Bunyinya senada dengan usaha Amerika membebaskan Iraq daripada kekejaman Saddam Hussin dan usaha memerangi keganasan dunia hingga ke akar umbinya. Apakah ini muslihat terbaru negara Polis Dunia bagi mengembangluaskan cengkaman kuasanya? Apakah ini bibit-bibit awal petanda Amerika mulai menjeling tanah air kita? Apakah kita bakal menyaksikan satu lagi sandiwara Amerika yang menuntut darah sebagai habuan? Jika Iraq dikaitkan dengan senjata kimia pembunuh, Malaysia kini cuba disangkutkan dengan penyakit sakit otak? Bunyinya sinis, tetapi dalam politik, perasaan dan sentimen tidak mempunyai nama- matlamat menghalalkan cara. Aku memicit kepala yang pening tiba-tiba. Aku gagau sepapan Panadol di dalam beg kulit, mengeluarkan sebiji dan menyumbatkannya ke dalam kerongkong bersama tegukan air mineral. Susah payah aku cuba mengingati kembali rentetan insiden dan tragedi di Malaysia belakangan ini. Sesuatu yang cuba aku hipotesiskan dengan takrifan sakit otak yang kuhadam setagal tadi. Antara yang penting-penting dan berbekas di cepu kepala ialah kes pelajar sekolah rendah dirogol lalu dibunuh, kematian Allahyarham Muhammad Farid Ibrahim yang dibelasah teruk pelajar-pelajar senior asramanya, kasus-kasus sumbang mahram yang menjelikkan, penderaan Nirmala Bonat oleh majikannya dan yang sedang hangat di skop media , perbicaraan kes berprofil tinggi, Noritta Shamsudin.

Kes-kes berkenaan bukannya suatu kebetulan atau kemalangan. Masakan tidak, perlakuan ganas dan luar kawal manusia boleh sahaja berlaku apabila hormon adrenalina terembes berlebihan lalu merangsang perubahan aras kimia dalam darah mengakibatkan tindakan agresif di bawah paras sedar. Implikasinya tentu lebih buruk jika si pemangsa dipengaruhi dadah terutamanya daripada jenis halusinogen seperti LSD. Manusia boleh sahaja merogol, memukul dan mengganasi individu lain secara keterlaluan, membunuh dan sebagainya apabila otak terganggu. Pendedahan Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) bahawa Malaysia kini menampung 125 000 penagih berdaftar di buminya benar-benar merelahkan sensitivitiku akan menokoklah lagi statistik jenayah dan bilangan mereka yang sakit otak.

Cuma yang memeningkan sekarang, bagaimana gangguan psikologi ini semua ada campur tangan senjata biologi rangkaian pengganas Al-Qaeda? Setahu aku, antrax dalam sampul surat yang diterima melalui pos dan meragut nyawa beberapa orang penduduk Amerika itu sahaja racun biologi. Selepas itu, senyap sunyi isu senjata biologi hinggalah ke saat ini. Dan kini, tanpa sebarang tiupan angin berita, mercup tiba-tiba perkhabaran dari Pentagon tentang wabak yang mampu mengganggu keseimbangan fungsi otak. Aku sendiri termanggu. Kemungkinan besar ini sekadar retorik terbaru ciptaan Rumah Putih. Satu konspirasi barangkali. Masakan tidak, kempen pilihan rayanya sedang rancak berlangsung dan sang Presiden sudah tentu enggan mengibar bendera putih, meninggalkan kerusi kosong yang sangat mahal harga kuasanya itu. Maka, satu isu perlu direka untuk mengalih perhatian dunia daripada kebobrokannya yang terbentang di Iraq.

Ah, kepalaku kembali dijentik denyut-denyut nakal! Sekonyong-konyong, aku memandang jam dinding. 12.15 tengah hari- waktu lunch. Terkocoh-kocoh, aku tinggalkan pejabat yang telah pun lengang dan mengabah ke restoran nasi kandar kegemaranku di seberang jalan. Aku menyenduk nasi putih bersama kari kepala ikan dan daging masak kurma lalu beransur ke meja makan bersebelahan dinding. Sambil menyuap butir-butir nasi dan serpih-serpih isi ikan, aku memandang sekitar. Suatu panorama yang cukup mengasyikkan. Di mana lagi untuk kita temukan manusia berbilang ras dan latar bersatu seakrab ini? Aku menyaksikan betapa mesranya seorang gadis Tionghua bersenda gurau bersama teman Melayunya di meja hadapan, betapa seorang Sikh pertengahan umur bertegur sapa dengan pelayan India sebaya anak remajanya. Kita tidak perlu meneroka jauh, keindahan ini mudah sekali dicicipi- hanya di sebuah restoran. Aku kenanaran jadinya memikirkan andai negara permai ini diperkosa tangan-tangan rakus penjajah. Betapa aku tersedar, agungnya nikmat kemerdekaan.

- Boleh saya tumpang duduk?

Satu suara syahdu merelaikan lamunanku. Aku mengangguk, berkalih. Seorang wanita berkulit hitam manis melirik senyum serong-serong bahasa sambil di tangannya sepinggan nasi beriani berlaukkan ayam masak madu. Dia duduk sopan bersetentang denganku. Aku menyeluruhinya. Dia berkebaya Cina ungu lembayung dan berkelubung biru lazuardi dengan jambul keperangan tertenggek di dahi. Cermin mata hitamnya dibuka. Aku terpempan. Tertukul kuat jantungku. Mahu sahaja terjelepuk ke lantai dan cair meresapi celah-celah rekah jubinnya. Aku tahu aku tidak berfantasi. Dia berubah ekspresi- sinis dan seolah-olah berkata, “Kenapa, tak percaya?”

Dia yang di depanku itu- Halle Berry! Pelakon Hollywood kulit hitam pertama menggondol Oscar Pelakon Wanita Terbaik via Monster’s Ball. Tidak sempat aku menyapa atau menzahirkan kekagumanku atau meminta autograf, Cik Halle Berry lebih dahulu memangkas.

- Saya ke sini atas urusan kerja. Brosnan gesa saya datang secepat mungkin.

Apa semua ini? Halle Berry di sebuah restoran mamak dan sedang bercakap urusan kerja denganku? Aku keliru.

- Awak, Encik Wan Ezaq Akmal, juruaudit dalaman di M-City Holding, berumur 32 tahun, telah berumah tangga dengan Sarimah Norodin, mempunyai seorang cahaya mata lelaki, tetapi pada masa yang sama menjalin hubungan sulit dengan setiausaha majikan sendiri, Cik Suzaliza Luqman.

Darah terpam keluar dari segala urat nadi.

+ Bagaimana awak tahu hal peribadi saya? (walaupun aku sebenarnya turut hairan bagaimana dia begitu fasih berbahasa Melayu.)

- Sistem satelit kami telah terkesan awak menyimpan sesuatu yang merupakan milik kami. Lantas, untuk tujuan menjejaki lokasi, kami telah mengakses data peribadi awak melalui jaringan internet dan memasang mata-mata mengekori awak.

+ Sesuatu yang merupakan milik awak? Saya tak faham.

- Makanlah ini dahulu.

Dia mengunjukkan dua bungkus coklat dalam telapak tangannya. Ragu-ragu, aku memilih yang berwarna kuning lalu mengunyahnya. Dia tersenyum sebelum menyambung.

- Awak ada baca akhbar pagi ini? Akhbar itu tidak sepatutnya awak baca. Ia sepatutnya terbit dua tahun dari sekarang.

Sekali lagi aku terkesima. Segera aku keluarkan akhbar yang telah diperonyokkan ke dalam beg kulitku. Kuteliti tarikhnya. Benar, dia tidak menipu. Tertera jelas, 8 September 2006. Kebingungan, aku bertanya bagaimana aku mampu memperoleh naskhah tersebut jika ia sewajarnya terbit dua tahun lagi?

- Rakan-rakan kami di Asia telah melakukan kesilapan teknikal. Mereka sebenarnya dalam uji kaji meniru percetakan akhbar perdana Malaysia dengan harapan dapat berkongsi hak penerbitan akhbar bersama suatu hari nanti. Entah bagaimana, satu sampelnya telah tercicir dan jatuh ke tangan awak. Walau apa pun, cerita itu sulit dan tidak patut diketahui umum sebelum masanya.

+ Artikel Nurin Hambali?

Cik Halle Berry mengangguk.

+ Apa yang sulit tentangnya?

Cik Halle Berry sedikit terencat untuk meneruskan bicara, tetapi setelah diam beberapa lama, dia menyambung.

- Artikel itu menceritakan tentang rancangan terbaru pihak pengganas melancarkan sejenis wabak biologi di Malaysia bagi menanam doktrin bahawa perjuangan mereka suci dan jihad mereka benar. Mereka berhasrat orang Islam di Malaysia bangun menentang kami, melancarkan jihad besar-besaran dan mencetuskan tragedi yang lebih dahsyat daripada 11 September.

+ Tetapi bagaimana pihak awak mengetahui hal ini sedangkan awak sendiri cakap akhbar ini akan terbit dua tahun lagi?

Kami seolah-olah berdua sahaja di restoran walaupun pada hakikatnya kedai makan itu sendat padat dengan pelanggan. Aneh, mereka seakan-akan tidak mengenali Cik Halle Berry yang popular.

- Ezaq, awak sepatutnya sedar dengan siapa awak sedang bercakap. Kalau kami mahu memadam benua Asia daripada atlas, kami boleh lakukannya dalam sekelip mata. Awak sudah lihat natijah yang menimpa Iraq, Palestine, Iran, Indonesia. Kami inventor. Kami boleh mencipta dan memusnahkan segala apa yang kami mahukan. (Cik Halle Berry tergelak angkuh). Senjata biologi itu pun sebenarnya metafora indah ciptaan ketua-ketua kami sebagaimana istilah ‘perjanjian damai’, ‘menangani keganasan antarabangsa’, ‘kemerdekaan mutlak’, ‘pentadbiran demokrasi’ dan entah ribuan istilah lagi. Laungan-laungan keramat, visual-visual sadis kematian dan suara-suara keamanan itu sudah cukup menyuntik warga dunia untuk menyedari keterlanjuran kami. Otak manusia yang sihat berupaya menganalisis dan memberi tafsiran kezaliman atas setiap perilaku sebegitu. Bukankah cetusan itu hasil rangsangan biologi tubuh? Disebabkan senjata biologi sebenar tidak wujud, maka ketua-ketua kami memetaforakan perjuangan mereka sebagai ‘senjata biologi milik pengganas’ kerana impaknya mampu melunturkan kepercayaan umat manusia kepada kami.

Aku termanggu menjamah untai kata-katanya. Nasi di dalam pinggan telah dilencuni kuah kari. Sebetulnya, selera makan telah terbunuh.

+ Lalu, apa kaitan semua ini dengan sakit otak?

Pertanyaanku disambut hilai tawa Cik Halle Berry. Aku yang merah padam tidak dihiraunya. Sesungguhnya, ini bukan masa bergurau senda. Ini soal serius. Ini soal keselamatan Malaysia, tanah tumpah darahku. Jika Cik Halle Berry belum berhenti terkekek-kekek sebentar lagi, aku bersumpah untuk menempelengnya. Aku tidak peduli.

Seolah-olah memahami detak fikirku, dia berhenti ketawa dan serius seperti sebelumnya.

- Ezaq mahu tahu? Pejam mata dan buka seminit kemudian.

Seminit berlalu. Aku membuka mata lalu gegau. Aku bukan di restoran nasi kandar lagi. Aku toleh kanan. Kiri. Atas. Bawah. Aku di sebuah tempat asing. Di depanku cermin lutsinar bersaiz gergasi melintangi pandangan. Di sempadannya, tersergam gagah tangan-tangan robotik berurat wayar dengan segala macam gajet mekanikal sedang bekerja. Di beberapa sudut, kelihatan mangkuk-mangkuk pengisar aluminium besar berdiri megah. Di satu sudut pula, terpancut laju bendalir berwarna coklat kehitaman dari muncung mesin mengisi botol-botol plastik yang tersusun beriringan di conveyer. Di bahagian kiri hujung sekali, tampak bergantungan ayam-ayam yang menggelepar sayapnya sebelum dijunamkan hidup-hidup ke dalam medan cas elektrik, menggelupur ngeri lalu mati sebelum berayunan terus ke bahagian selanjutnya. Aku kecut perut, meneliti kawasan dudukku. Rupa-rupanya, aku berada di dalam satu ruang yang pada hematku bilik kawalan kualiti. Pelbagai jenis butang- merah, hitam, hijau dan segala macam lagi menghurungi penglihatanku dan melalui pintu terbuka yang membawa kepada bilik di sebelahnya, aku terpandang berkotak-kotak makanan yang sedang dicuba beberapa wanita berpakaian doktor. Berhampiran siling pintu tertera, “QUALITY CONTROL UNIT”.

- Selamat datang ke Kilang Pembuatan Makanan Eksport Khas (KPMEK) kami.

Cik Halle Berry yang tenggelam dalam ingatanku setagal tadi bersuara. Dia di sebelah belakangku cuma. Masih sinis wajahnya.

- Awak mahu tahu apa kaitan sakit otak rakyat Malaysia dengan rancangan kami, bukan?

Aku mengangguk. Cuba berlagak yakin meskipun seluruh anggota terbius kedinginan. Lebih sejuk dan pucat daripada sekujur tubuh mayat.

- Berdasarkan kajian kami, rakyat Malaysia sangat menggemari makanan segera ciptaan kami. Ayam segera, keropok, minuman bergas, pizza, dan ...awak namakanlah. Malah, anak-anak muda Malaysia lebih mengenali makanan sebegini daripada sambal belacan dan ulaman tempatan. Lalu, kami mengeksploitasi kecenderungan ini. Dalam makanan segera dan rapu tersebut, kami akan memasukkan dua unsur utama. Kami mencampurkan serbuk amphetamine, sejenis dadah perangsang yang dapat mencetuskan ketagihan. Disebabkan ini, mereka akan terus membeli dan menjadi konsumer sejati. Lama-kelamaan, impaknya lebih ketara. Mereka menjadi kurang mengantuk, cergas tanpa sebab lantas menimbulkan ketidakselesaan, keresahan, kerengsaan dan akhirnya, menjahanamkan otak. Kedua, kami akan menyelitkan segala propaganda dan doktrin kami yang dipaten kemas dalam bentuk hablur yang membentuk designer drug sebagai sari pati primer minuman berkarbonat. Kami sasar proses penjajahan minda ini akan berlaku secara menyeluruh dalam tempoh dua tahun. Hal ini seperti Jepun dengan ideologi ‘Asia untuk Asia’ semasa era Tanah Melayu dahulu, cuma kami janakannya secara lebih sofistikated. Pada pertengahan tahun pertama, Ketua Tertinggi kami akan mula memainkan isu pengganas- betapa mereka mula mengoperasikan senjata biologi yang memudaratkan otak. Perlahan-lahan, fokus kami akan ditumpukan kepada Malaysia. Genap dua tahun, Ketua Tertinggi kami akan mula mengatur langkah ‘menawarkan bantuan kepada Malaysia bagi menangani ancaman pengganas’. Dan, awak tentu dapat membayangkan betapa goyahnya pertahanan negara ketika itu. Sebahagian rakyatnya telah sakit otak, sebahagian lagi pro-kami. Pada saat itu, Malaysia akan menjadi Iraq kedua.

Cik Halle Berry gelak terbahak-bahak macam kerasukan. Baru aku terperasan, betapa hodohnya peribadi Inggeris Cik Halle Berry dalam busana Melayu yang anggun. Aku menempelak.

+ Jadi, engkau ingat aku akan bersekongkol dengan engkau semua? Engkau silap! Sekali aku menjadi anak Malaysia, selama-lamanya aku anak Malaysia.

Didorong cetusan abnormal medula oblongata, aku hempas dan henyak butang-butang elektronik di panel kawalan. Operasi robotik mula tersekat-sekat dan tersemput-semput. Cik Halle Berry kegemparan. Dia menjerit memanggil pengawal keselamatan. Aku panik, cuba lari. Cik Halle Berry menghalang. Dia kutempeleng sepenuh kudrat, terpelesong tubuh montoknya. Aku gegas keluar melalui pintu utama. Aku berlari melalui terowong memanjang tanpa menoleh. Dalam kepala, ligat berpusing informasi-informasi rahsia yang bisa menyelamatkan Malaysia daripada rongak kemerdekaannya. Aku mesti kembali ke tanah air, menghadap Perdana Menteri dan menerangkan segala-galanya. Aku mesti cepat. Rancangan jahat mereka perlu dinokhtahkan sebelum terlambat.

Tangan besar lagi berat merangkulku dari belakang. Aku didakap erat hingga sukar bernafas. Kakiku terasa terangkat dari tanah. Aku mengah, tetapi cuba meronta. Beberapa tangan besar menggomoli aku. Aku lemas. Dalam simbahan cahaya, dengan mata separuh terkatup, aku terlihat sebatang jarum panjang terhunus memercikkan cecair jernih. Dan, tanpa sempat mengelak, jarum itu dijunam membenam tepat di punggung. Dunia gelap gelita.

***

+ Dengar cerita, dia berjaya ditangkap semula kelmarin.


- Ya, cubaan melarikan diri yang gagal.

+ Apa masalahnya?

- (Tergelak kecil) Peminat fanatik James Bond. Pada masa yang sama, ahli kumpulan militan Islam. Dia mengamuk sebab dalam filem James Bond terbaru, Islam kena kecam teruk. Tetapi, yang membuatkan dia diserang psikosis apabila bininya dapat tahu dia ada hubungan sulit dengan setiausaha bos sendiri.

+ Wah, anehnya!

- Itulah dia, langkah-langkah untuk anda mendapat sakit otak!

Kedua-dua doktor tergelak geli hati meninggalkan wad yang menempatkan seorang pesakit mental yang tidak lekang dari bibirnya konspirasi, senjata biologi, pejuang Islam, Halle Berry, kemerdekaan Malaysia, dan penyakit sakit otak.