May 10, 2006

Ola Yang Malas Mandi


Di pinggir sebuah kampung di seberang negeri, tinggallah sepasang badak sumbu yang hidup bahagia. Si bapa bernama Hip dan si ibu pula bernama Ipo. Mereka mempunyai seekor anak bernama Ola.

Ola mempunyai satu tabiat buruk iaitu malas mandi. Setiap hari, selepas bangun tidur, Ola akan terus bermain dengan kawan-kawannya sehinggalah waktu menjelang matahari terbenam iaitu tatkala dia terasa lapar, barulah Ola akan pulang ke kandangnya untuk makan.

Ipo sudah banyak kali menasihatkan Ola agar menjaga kebersihan dirinya, tetapi Ola masih juga berkeras hati dan meneruskan sikap angkuhnya. Sikap Ola yang degil dan tidak mahu menjaga kebersihan diri ini amat merisaukan hati ibunya.

Sehinggalah pada suatu hari, Ola telah diserang penyakit kulit yang teruk, menyebabkannya malu untuk keluar bermain bersama kawan-kawan. Kawan-kawan Ola pula semakin menjauhkan diri dan enggan bermain dengannya.

Selang beberapa minggu, Ola sembuh daripada penyakitnya itu tetapi malang masih terdapat parut yang kelihatan di seluruh badannya. Pada mulanya, Ola berasa begitu gembira kerana dirinya sudah boleh keluar bermain dengan kawan-kawan yang lain.

Tetapi dia berasa begitu terkejut dan sedih apabila semua kawan-kawannya enggan bermain dengannya serta memandang jijik setiap kali Ola cuba mendekati mereka. Ola terasa sungguh sedih dan kecil hati lalu pulang semula ke kandang menemui ibunya.

Ola menangis teresak-esak sambil menceritakan kepada ibunya yang kawan-kawannya enggan berkawan dengannya lagi. Ibunya yang memahami apa yang dialami oleh anaknya itu telah menasihati Ola supaya rajin menjaga kebersihan diri serta tidak mengabaikan mandi pagi.

Semenjak hari itu, Ola sentiasa menjaga kebersihan dirinya. Perubahan tersebut telah menyebab rakan-rakan Ola tidak malu atau takut untuk lagi untuk mendekati Ola. Parut-parut di badannya juga turut hilang.

Kini, barulah Ola tahu betapa pentingnya menjaga kebersihan dirinya.

No comments: